Friday 1 June 2012

Mari kita amalkan Selawat

HUKUM MEMBACA SELAWAT
1. Imam Syafie : selawat itu wajib dibacakan dalam tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam.
2. Imam Asy-Sya’bi : selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedua-dua tasyahud awal dan akhir.
3. Abu Jaafar al-Baqir : selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dalam tasyahud awal atau akhir.
4. Abu Bakar ibnu al-Baqir :selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya.
5. Abu Bakar ar-Razi dan Ibnu Hazmin : selawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali.
6. At-Thahawi : selawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w.
7. Az-Zamakhsyari : selawat wajib dibaca pada tiap-tiap sesuatu majlis.
8. Ibnu Jarir at-Thabari : selawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja.
9. Ibnu Qashshar : selawat kepada Nabi adalah suatu ibadah wajib.
WAKTU-WAKTU BERSELAWAT
1. Ketika hendak masuk dan keluar masjid
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid, maka hendaklah ia membaca salam kepadaku (selawat dan salam). Sesudah itu berdoa, wahai Tuhanku, bukakanlah untukku segala pintu rahmatMu. Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa, wahai Tuhanku, aku memohon kepadaMu limpahan rahmatMu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
2. Sesudah azan
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Apabila kamu mendengar mu’azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)
3. Sesudah membaca tasyahud akhir dalam solat.
4. Dalam solat jenazah
5. Di antara takbir-takbir solat sunat hari raya.
6. Di permulaan dan akhir doa.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi, tiada naik, barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
7. Di akhir qunut dalam solat.
8. Di malam dan di hari Jumaat.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku.” (Hadis Riwayat Thabarani)
9. Di dalam khutbah Jumaat
Dalam mazhab Syafie, para khatib wajib membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w pada permulaan khutbah, sesudah membaca tahmid dan juga sebelum akhir khutbah Jumaat.
10. Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad s.a.w
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salamnya iaitu di sisi kuburku, melainkan Allah mengembalikan kepadaku rohku untuk menjawab salamnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
11. Sesudah bertalbiah
Sabda Rasululullah s.a.w :
“Memang disuruh seseorang membaca selawat untuk Nabi ketika ia telah selesai talbiahnya dalam segala keadaan.” (Hadis Riwayat Syafi’I dan Daraquthni)
12. Ketika siap mengadakan majlis atau keramaian
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis, sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah SWT dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyiksa mereka dan jika Allah mengkendaki nescaya akan mengampuni mereka.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
13. Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesama Islam
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Tiadalah dua hamba yang saling cinta-mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan (bersalam) dan berselawat kepada Nabi s.a.w melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah, baik yang telah lalu ataupun yang akan datang.” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
14. Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat, maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang berkatnya.” (Hadis Riwayat ar-Rahawi)
15. Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya.”(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
16. Ketika telinga berdengung
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung, maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
17. Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan
18. Setiap waktu pagi dan petang
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Barangsiapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali, maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Thabarani)

No comments:

Post a Comment