Sunday, 13 May 2012

Hari Terakhir Saya Melihat Perempuan Cantik Bertudung Labuh Itu - sebuah cerpen

Mendapatkan cinta perempuan itu tidak pernah sukar untuk saya. Sedari sekolah menengah saya sudah punyai bakat untuk mencintai dan paling utama dicintai. Untuk cinta, saya meminjam kata-kata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, "Cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab.". Pada ketika sebab itu wujud, wujudlah cinta, dan pada ketika sebab itu hilang, hilanglah cinta. Jadi, itulah falsafah saya dalam cinta, wujudkan sebab dan pada ketika sebab itu wujud, cinta perempuan itu akan kau dapat.

Bertambah mudah, untuk perempuan cinta itu wujud bersama wujudnya harapan, dan tugas saya adalah mewujudkan harapan.

Namun, oleh kerana kelebihan itu juga datang dengan satu kekurangan, iaitu saya tidak mampu setia dengan hanya satu cinta, maka banyak waktu juga, sebab itu hilang, dan saya pun hilang cinta. Banyak waktu hati saya tidak luka, adakalanya luka sedikit, tetapi sangat jarang ia parah.

Jadilah saya lelaki yang sering dikutuk kerana mempermainkan perasaan, walaupun hakikatnya saya cuma tidak mampu setia, dan untuk alasan itu saya tidak pernah berasa bersalah.

Pada hari itu juga sama, pada ketika cinta hilang bersama sebab, mujur hati saya cuma luka sedikit, dan tidak saya sangka itulah hari terakhir saya sebagai lelaki romeo.

Bas.

Sudah surut waktu zohor, tetapi saya masih di dalam bas yang berpusing-pusing di kawasan flet murah. Tetapi itu perkara biasa untuk saya. Solat itu, saya tahu wajib tetapi saya tahu juga Allah itu maha pengampun. Selebihnya, saya malas mahu fikir.

Saya melihat ke luar dan tidak ada apa-apa yang dapat saya perhatikan selain dinding flet yang kusam dan pokok-pokok yang tidak terjaga. Manusia hanya ada beberapa orang. Mungkin kerana terik matahari membuatkan mereka lebih suka berbaring di lantai rumah. Malah manusia di dalam bas pun hanya ada lima orang termasuk saya.

Manakala saya, masih tidak tahu ke mana harus dituju. Putus kasih memang sukar dan tidak pasti apa ubatnya, dan antara cara yang sering saya buat, adalah dengan menaiki bas, berjam-jam berlegar di laluan yang sama, namun dengan penumpang-penumpang yang berbeza. Berfikir berkenaan kasih yang tidak sampai dan mula memikirkan nasib hati yang luka.

Lalu pada ketika itulah, pada satu hentian naik seorang perempuan bertudung labuh dan duduk di hadapan sekali, di belakang pemandu bas. Saya hanya memerhati kerana sekilas tadi terlihat wajahnya begitu cantik.

Dengan hati yang luka, dengan kemahiran memikat gadis yang sentiasa siap dan tinggi, dan dua modal yang saya ada iaitu berani dan mulut manis, fikiran saya mula memikirkan sesuatu. Saya tersenyum sendiri lalu bangun dan mula duduk di kerusi bersebelahan perempuan yang bertudung itu.



Hampir lima minit menyediakan diri, saya mula berkata, "Mahu ke mana?"

Perempuan itu tidak menyahut, diam dan saya tahu itu adalah perkara biasa. Pertanyaan pertama memang sering gagal. Apatah lagi dengan pertanyaan yang terlalu kebudak-budakan seperti itu.

"Awak ustazah, ya? Saya mahu tanya satu soalan?" soal saya lagi, selepas meneliti beberapa soalan yang patut saya keluarkan dari kepala.

Perempuan itu tetap diam dan wajahnya sedaya upayanya dipalingkan dari saya. Saya tahu dia sedang terganggu, dan saya tahu itu perkara biasa.

"Mengapa ada rakan saya yang pemabuk bernikah dengan perempuan yang baik-baik? Sedangkan sudah riuh orang berkata, perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik? Adakah sebenarnya perempuan yang nampak baik itu jahat, ataupun lelaki yang pemabuk itu yang sebenarnya baik?"

Saya tahu, soalan saya itu adalah soalan yang sangat memancing hati. Walaupun mungkin hari ini tidak dijawab, saya yakin soalan itu akan dibawanya pulang ke rumah, lalu difikirkan sebelum tidur. Dan saya sudah tahu, hari ini cumalah hari pengenalan. Sekiranya ada jodoh, esok dia akan ada di sini lagi, dan soalan itu akan saya tanyakan lagi, dan dia mungkin akan menjawab, dan sekiranya dia tidak menjawab esok, lusa, tulat dan mungkin juga bulan depan barulah dia menjawab.

Pada ketika dia menjawab, pada ketika dia membuka mulut, saya tahu, saya sudah berjaya. Saya tersenyum sendiri dan terus larut dalam rancangan yang tidak pernah gagal. Untuk hari ini, cukuplah dua soalan itu, cukuplah.

Pada ketika kemudian, perempuan bertudung labuh yang cantik itu menekan punat berhenti, tahulah saya dia adalah seorang pelajar universiti. Bas betul-betul berhenti di hadapan universiti yang satu itu.

Dan pada ketika itulah, pada ketika dia mahu turun sesuatu yang saya tidak jangka berlaku. Dia berpaling dan dengan wajah yang nampak tegas dia berkata, "Saya akan jawab soalan itu, sekiranya saudara jawab soalan saya ini."

"Apa?" Tidak saya menyangka, seawal ini dia membuka mulut, dan seawal itu rancangan saya berjaya.

"Allah itu Maha Pengasih, dan Allah juga Maha Berat Seksa-Nya. Namun, kasih sayang Allah sentiasa mendahului murka-Nya. Jadi, adakah saudara sekarang fikir Allah sedang murka kepada saudara tetapi kerana sifat kasih-Nya, Dia melambatkan seksa-Nya, ataupun saudara sebenarnya dalam rahmat dan kasih sayang Allah, kerana saudara ini sebenarnya seorang yang baik? Sekiranya saudara mengaku, saudara seorang yang baik, beri nombor telefon saudara. Surau kami memang memerlukan seorang penceramah agama seperti saudara. Namun sekiranya saudara tahu yang Allah sedang murka kepada saudara tetapi saudara sekarang masih dalam belas ihsan-Nya, anggaplah soalan saya ini sebagai belas ihsan-Nya yang terakhir sebelum datang murka-Nya. Jadi, saudara yang mana satu?"

Itulah hari terakhir saya melihat perempuan cantik bertudung labuh itu, dan saya tahu, saya sudah diberi soalan yang akan saya fikirkan untuk setiap jam, dan saya masih memikirkan soalan itu sampai sekarang. Soalan yang saya cuba jawab dengan solat-solat yang selama ini saya cuaikan, sambil mengenang kata-kata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, namun tetap sahaja saya tidak berani menjawabnya

No comments:

Post a Comment